
KUALA LUMPUR, 4 Februari – Pengukuhan nilai ringgit wajar berlaku secara berperingkat, stabil dan disokong oleh asas ekonomi yang kukuh.
- Pengukuhan ringgit perlu berlaku secara berperingkat dan terkawal untuk elak kesan negatif terhadap eksport dan pelancongan.
- Pergerakan stabil ringgit mengurangkan kos import, membantu kawal inflasi dan tingkatkan keyakinan pelabur.
- Risiko pasaran dan turun naik masih wujud; kenaikan mendadak perlu dielakkan.
- Dasar domestik yang jelas dan pembaharuan kerajaan antara faktor utama menyokong pengukuhan ringgit.
Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob berkata, kenaikan yang terkawal dan tidak terlalu mendadak dapat mengelakkan risiko seperti tekanan terhadap daya saing eksport serta sektor pelancongan.
Jelasnya, pergerakan ringgit ketika ini kekal stabil dan memberi manfaat kepada ekonomi negara menerusi kos import lebih rendah, mengawal inflasi dan meningkatkan keyakinan pelabur terhadap pasaran tempatan.
“Pasaran matawang ada risiko dan turun naiknya. Kalau ringgit meningkat, sebolehnya meningkat dalam keadaan yang terkawal.
”Kalau boleh tidak berlaku dalam keadaan yang mendadak. Ketika ini, peningkatannya dalam kadar yang stabil dan dalam tempoh setahun ringgit sudah meningkat lebih 10 peratus,” katanya.
Ringgit muncul mata wang berprestasi terbaik di Asia pada 2025 dan diramal mengekalkan kedudukannya tahun ini dengan merekodkan kenaikan sebanyak 10.77 peratus berbanding dolar untuk tempoh tahun ke tahun.
Pada 23 Januari lalu, unit tempatan itu melepasi paras psikologi 4.00 berbanding dolar AS apabila mencecah paras 3.99, tertinggi dalam tempoh lebih tujuh tahun.
Bagi sepanjang minggu ini, ringgit dijangka diniagakan dalam julat 3.93-3.96 berbanding dolar AS.
Sebelum ini, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, faktor domestik seperti dasar jelas dan pembaharuan berterusan kerajaan selain faktor luaran antara penyumbang utama kepada peningkatan kukuh ringgit.