PETALING JAYA, 4 Januari- Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di negeri Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan sehingga 12.00 tengah hari ini.
MET Malaysia menerusi kenyataan berkata kawasan terlibat di negeri Sarawak seperti Bintulu (Bintulu) dan Miri (Subis dan Miri).
Manakala di Sabah seperti pedalaman (Kuala Penyu dan Nabawan), Pantai Barat (Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud) dan Tawau (Tawau).
Sementara itu, hujan berterusan kategori waspada dijangka bagi beberapa kawasan di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor bermula hari ini hingga 6 Januari (Isnin).
"Di negeri Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai), Terengganu, Pahang (Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin), Johor (Mersing dan Kota Tinggi)", menurut kenyataan MET Malaysia.
Orang ramai dinasihatkan mendapatkan maklumat terkini mengenai cuaca melalui laman web rasmi MetMalaysia, aplikasi mudah alih myCuaca atau media sosial rasmi jabatan tersebut.