KUALA LUMPUR, 16 September - Radar cuaca mengesan ribut petir dari arah laut yang kini sedang menghampiri kawasan Pantai Barat Sabah dan Labuan pada petang ini.
Fenomena itu berisiko membawa hujan lebat, angin kencang serta keadaan laut bergelora yang boleh menjejaskan perjalanan laut.
"Orang ramai turut dinasihatkan menghentikan sementara aktiviti di laut dan kawasan terbuka serta peka terhadap perkembangan cuaca semasa bagi mengelak sebarang risiko," menurut hantaran Facebook Bencana Alam Sabah setakat pukul 2 petang tadi.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan berkata analisis terhadap model ramalan cuaca menunjukkan penumpuan angin dijangka berlanjutan di timur Sabah sehingga 18 September ini.
Keadaan tersebut berpotensi menghasilkan ribut petir berserta hujan lebat dalam jangka masa lebih panjang di kawasan berkenaan sepanjang tempoh itu.