PETALING JAYA, 7 Oktober - Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melibatkan beberapa kawasan di negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Sarawak sehingga pukul 11.00 malam ini.
Jabatan Meteorologi (MET Malaysia) dalam kenyataan memaklumkan cuaca tersebut dijangka di negeri Kelantan (Gua Musang), selain beberapa kawasan di Terengganu (Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman.
Keadaan sama turut dijangka di beberapa kawasan di Pahang iaitu Lipis, Jerantut, Maran, Kuantan dan Pekan serta beberapa kawasan di Sarawak iaitu Kapit (Kapit dan Bukit Mabong).
"Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
"Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran", menurut kenyataan itu.