fb fb fb fb fb

Ribut di Perlis, kemuka laporan polis untuk mohon bantuan

Foto Ihsan APM

KANGAR, 21 Jun- Kejadian ribut di Perlis telah menjejaskan sembilan buah rumah, setakat pukul 9.00 malam tadi.

Kira-kira pukul 4.00 petang tadi, negeri di utara Malaysia itu dilanda angin kencang dan hujan lebat secara serentak sekali gus mengakibatkan bumbung rumah diterbangkan angin, struktur rumah rosak serta dihempap pokok tumbang.

Kawasan yang terjejas meliputi Kampung Guar Syed Alwi, Kampung Sena, Kampung Ujong Bukit, Sungai Berembang, Jelempok dan Titi Beratap serta Kampung Oran.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor dalam kenyataan berkata pihaknya bersama pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan agensi pengurusan bencana negeri telah turun ke lokasi sebaik menerima laporan berkaitan kejadian ribut yang berlaku.

MAIPs dan JKM sedang dalam proses menyelaras serta mengemas kini anggaran sebenar kerosakan setiap rumah yang terlibat, berdasarkan laporan dan tinjauan ke setiap rumah.

"Mereka yang terjejas diminta segera membuat laporan polis dan mengemukakan laporan berkenaan beserta gambar kejadian kepada JKM. Bagi kerosakan kecil, bantuan membaiki kediaman akan diuruskan JKM manakala bagi kerosakan besar akan dirujuk kepada MAIPs," kata kenyataan itu.

Turut hadir melawat penduduk terjejas, Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dan Ahli Parlimen Kangar, Zakri Hassan yang turun menyerahkan bantuan awal kepada mangsa.

Sementara itu, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Perlis menerima 17 panggilan kecemasan berhubung kejadian pokok tumbang di seluruh Perlis akibat angin kencang serta hujan lebat, petang tadi.

Pokok tumbang berkenaan melibatkan rumah kediaman yang dihempap pokok serta laluan utama yang terhalang akibat pokok merentangi jalan.

Menurut Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Izaimi Mohd Daud dalam kenyataannya, kawasan terjejas membabitkan di Kampung Guar Syed Alwi, Kampung Pokok Petai dan Jalan Raja Syed Alwi.

Turut berlaku kejadian pokok tumbang di Kampung Surau Utan Aji, Jalan Kuala Perlis-Changlun dan Taman Bukit Keteri.

Seramai 49 pegawai dan anggota APM Negeri diaturgerak bagi kerja-kerja pemotongan serta pembersihan pokok tumbang dan tiada mangsa terlibat dalam kesemua kejadian tersebut.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM