KANGAR, 29 Mac-Angin kencang dan hujan lebat yang melanda Perlis kira-kira pukul 4.30 petang sehingga 10.50 malam tadi menyebabkan 117 buah rumah rosak apabila bumbung diterbangkan angin, struktur runtuh serta dihempap pokok yang tumbang.
Kangar dan Arau terjejas teruk melibatkan 18 kawasan antaranya Kampung Baru, Taman Intan, Taman Datuk Setia, Repoh, dan Tok Kuning.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor, pihaknya telah turun ke lokasi bagi mendapatkan anggaran sebenar kerosakan dan jumlah rumah terlibat.
Bantuan membaiki kediaman dan keperluan berkaitan akan disalurkan segera pihak MAIPs, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pengurusan Masjid mengikut kariah mangsa terlibat selepas laporan polis dibuat.
Pihak MAIPs menyeru mereka yang terjejas untuk segera membuat laporan polis serta memaklumkan kepada wakil MAIPs di Kariah bagi tindakan segera.
(117 buah rumah rosak akibat ribut di Perlis/FOTO RTM)