ALOR GAJAH, 12 Disember- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka merampas lebih 500 kilogram (kg) barang bersubsidi gula pasir dan minyak masak paket di sebuah restoran mamak di sini.
Operasi berkenaan menjumpai barangan bersubsidi terbabit yang disorok pada tangga dan stor di tingkat satu bangunan premis dua tingkat tersebut.
Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, premis itu tidak mempunyai permit kebenaran menyimpan barang kawalan berjadual di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
KPDN Melaka menjalankan pemeriksaan susulan menerima aduan daripada pengguna yang mengesyaki premis terbabit menyorok serta menggunakan barang kawalan.
"(Jumlah rampasan) gula lebih 300kg dan juga minyak masak bersubsidi 1kg lebih 250 paket iaitu lebih 250kg. Kalau kita tengok, 250kg (minyak masak) itu bersamaan (untuk kegunaan) 133 isi rumah," katanya kepada pemberita di sini.
Norena turut mengingatkan semua peniaga yang mengguna dan menyimpan barang kawalan berjadual bagi kegunaan perniagaan agar mendapatkan permit.
Peraturan 18, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 telah mewajibkan mana-mana pihak bagi tujuan perdagangan yang membeli dan menyimpan minyak masak melebihi 12 kilogram perlu memiliki permit daripada KPDN.
Pemegang permit hanya boleh mendapatkan bekalan minyak masak tidak bersubsidi daripada pemborong berlesen yang sah.