KUALA KANGSAR, 7 April- Penganjuran Pesta Panjut yang merupakan acara tradisi Persatuan Penggemar Panjut Kampung Ribu, Enggor, Kuala Kangsar berjaya menarik kehadiran hampir 1,000 pengunjung dari seluruh negara.
Pembinaan replika Masjid Sri Sendayan, Negeri Sembilan yang menggunakan hampir 300 batang buluh dan 1,800 pelita antara daya tarikan Pesta Panjut kali ini.
Pengerusi Persatuan Penggemar Panjut Kampung Ribu, Amirruddin Mohd Lazim berkata, pihaknya telah melakukan persiapan kira-kira dua minggu sebelum bulan Ramadan bermula.
Katanya, sebanyak RM5,000 telah dibelanjakan bagi penganjuran pesta tersebut yang diadakan pada malam ke-27 Ramadan.
"Alhamdulillah kita mengekalkan tradisi yang mana kita buat menara menggunakan buluh, kita buat platform yang setiap aras itu kita boleh naik, kalau kita bandingkan dengan sesetengah tempat dia buat menara atau dia buat 'frame' itu hanya satu muka sahaja, tetapi kita boleh akses ke setiap tingkat sampai ke tingkat 4, itu perbezaannya dan kita menggunakan hampir 80 peratus penggunaan buluh yang menyebabkan ia ada kelainan di situ," katanya.
Sementara itu, rata-rata yang ditemui mengakui pesta berkenaan dapat mengembalikan nostalgia zaman dahulu.
" Memang nostalgia sungguh , tradisi ini kalau dekat Kuala Lumpur memang tiada la, jadi memang seronok bawa anak-anak pun gembira tengok pesta ini," kata pengunjung, Abdul Rahman Hamzah
Pengunjung, Salina Jumri pula berkata menerusi Pesta Panjut ini beliau mendapat idea untuk mendekorasi taman di kediamannya.
"Masuk dekat kampung sini rasa macam nak berhenti dekat tepi rumah orang tu kan. Rasa nak balik kampung tengok panjut rumah orang seronoknya, kita boleh ambil idea sikit-sikit, boleh buat dekat taman di laman rumah," ujarnya.