KUALA LIPIS, 29 Februari - Seorang remaja Orang Asli dilaporkan maut selepas tertimbus ketika sedang mendulang emas di Kampung Pantos, Lipis, Pahang awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Lipis Superintenden Azli Mohd Noor berkata, mangsa Budiman Johan, 18 tahun berjaya dikeluarkan dari timbunan tanah itu oleh rakannya, namun disahkan telah meninggal dunia.
Menerusi satu kenyataan media, beliau memaklumkan pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada Tok Batin Kampung Pantos di Balai Polis Sungai Koyan, pukul 12.00 tengahari semalam.
"Mangsa dikatakan bersama-sama tiga lagi rakannya memasuki kawasan ladang milik sebuah agensi kerajaan sekitar pukul 3.00 pagi untuk mendulang emas berhampiran longkang pembentung dalam ladang itu,"katanya.
Berdasarkan keterangan rakan mangsa, , Budiman telah menggali tanah sekitar longkang pembentung itu menggunakan tangan sebelum timbunan tanah terbabit runtuh dan menimbusnya.
Bagaimanapun, rakan-rakan mangsa berjaya mengeluarkannya dari timbunan tanah itu sebelum dibawa pulang ke rumah dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Sungai Koyan.
Pasukan polis dari Balai Polis Sungai Koyan telah melawat lokasi kejadian dan mendapati, kerja mendulang emas itu dilakukan secara tradisional tanpa menggunakan penggunaan jentera berat.