KUALA KRAI, 9 April- Seorang remaja maut selepas merempuh seekor lembu yang melintas jalan di Kilometer 73, Jalan Kota Bharu-Gua Musang, Kuala Krai, awal pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Timbalan Penguasa Polis (DSP) Mohd Maizan Mustaffa berkata, mangsa berusia 18 tahun yang menunggang motosikal bersendirian dipercayai melanggar haiwan tersebut berhampiran Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai.
“Hasil siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang mangsa dalam perjalanan dari Kuala Krai menuju ke rumahnya di Kampung Baru Pahi.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, seekor lembu dipercayai melintas jalan secara tiba-tiba sebelum berlaku pelanggaran.
“Akibat perlanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Maizan turut menasihatkan pemilik ternakan supaya tidak membiarkan haiwan peliharaan berkeliaran di jalan raya sehingga membahayakan pengguna jalan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Amirul Izham Azlan di talian 09-9666222.