fb fb fb fb fb

Remaja mandi bersama rakan, ditemukan lemas di Dungun

Foto hiasan

DUNGUN, 5 Januari- Seorang pelajar sebuah sekolah menengah di Dungun, Terengganu ditemukan lemas ketika sedang mandi bersama empat lagi rakannya di satu kawasan paya di Kampung Rantau Abang, petang tadi.
  
Mayat mangsa, Muhammad Hazrie Ezani Abdullah berusia 15 tahun, ditemukan oleh pasukan penyelamat kira-kira jam 6.10 petang pada kedalaman empat meter.
 
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPB) Shahrizal Shamsudin, bomba menerima panggilan kira-kira jam 5.13 petang.
 
Beliau berkata, seramai 22 anggota bomba dikejarkan ke lokasi kejadian bagi melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa.
 
Mangsa dipercayai dihanyutkan arus deras ke sebuah kawasan paya yang dalam di situ sebelum tenggelam ke dasar paya dan lemas.
 
Katanya, rakan mangsa yang menyedari mangsa tidak timbul terus bertindak menghubungi penduduk kampung untuk meminta bantuan.
 
PKPB Shahrizal berkata, pasukan penyelamat yang berdepan dengan sedikit kesukaran ekoran arus deras berjaya menemukan mayat sebelum menyerahkannya kepada polis.
 
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir berkata, sebelum kejadian, mangsa dikatakan ke lokasi untuk mandi bersama empat lagi rakannya.
 
Superintenden Maizura berkata, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan dan siasatan lanjut.

ROSLINA BINTI DIN