fb fb fb fb fb

Remaja lemas ketika pasang jaring di kebun getah dinaiki air

Mayat Muhammad Syahril Hakimy Sudin, 19 tahun ditemukan kira-kira 50 meter dari lokasi dia dipercayai terjatuh

KUALA KRAI, 19 Disember -Seorang remaja lelaki ditemukan lemas selepas perahu yang dinaikinya terbalik ketika memasang jaring di kawasan kebun getah yang dinaiki air.

Kejadian berlaku berhampiran Masjid Mukim Pemberian Al Mahdi, Kampung Pemberian, di sini, lewat petang semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Penolong Penguasa Bomba Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, mangsa dikenali sebagai Muhammad Syahril Hakimy Sudin, berusia 19 tahun.

Jelas beliau, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada pukul 7.22 malam.

"Maklumat awal orang awam memaklumkan mangsa menggunakan perahu yang diperbuat daripada tong drum yang dibelah sebelum terbalik ketika memasang jaring.

Anggaran kedalaman air di lokasi kejadian adalah sekitar 15 kaki," katanya.

Operasi mencari dan menyelamat melibatkan lapan anggota dengan kekuatan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Emergency Medical Rescue Services (EMRS).

Pencarian dilakukan menggunakan teknik pencarian di permukaan dengan peralatan 'grappling iron'.

Mangsa ditemukan pada pukul 9.02 malam, kira-kira 50 meter dari lokasi dia dipercayai terjatuh.

Mangsa disahkan meninggal dunia dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN