
KUCHING, 22 Februari – Mayat seorang remaja lelaki yang dilaporkan hilang selepas dipercayai lemas di Kampung Kolong Sungai Tengah pada Jumaat lalu ditemukan pagi tadi.
- Mayat remaja lelaki Fahrell Zaquan Hasbullah, 16, ditemukan di Sungai Tengah selepas dua hari hilang.
- Mayat ditemui kira-kira 2.7 km dari pos bomba, dalam keadaan tidak berbaju dan hanya memakai seluar putih.
- Identiti disahkan keluarga, mayat diserahkan kepada polis dan operasi SAR ditamatkan pada petang sama.
Mangsa dikenali sebagai Fahrell Zaquan Hasbullah, 16 tahun, ditemui orang awam kira-kira pukul 11.20 pagi pada jarak lebih kurang 2.7 kilometer dari pos kawalan bomba.
Menurut laporan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, mangsa ditemukan dalam keadaan tidak berbaju dan hanya memakai seluar panjang berwarna putih.
“Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang menerima makluman segera bergegas ke lokasi bagi membuat pengesahan status penemuan,” menurut kenyataan itu.
Mangsa kemudian diangkat ke dalam bot pada pukul 1.00 tengah hari sebelum dibawa ke pangkalan Masjid Kampung Tengah Sungai.
Pengesahan identiti dilakukan oleh ahli keluarga sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada pukul 2.00 petang.
Jumaat lalu, berdasarkan maklumat rakan mangsa, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pada waktu petang ketika mangsa bersama seorang rakan sedang bermain di tebing sungai sebelum terjatuh ke dalam air dan dihanyutkan arus deras.