fb fb fb fb fb

Remaja hilang ketika mandi sungai bersama rakan, ditemui lemas

FOTO RTM

SEGAMAT, 17 November- Remaja lelaki yang dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi bersama 19 rakannya di Sungai Jeram Badoh, Buloh Kasap, ditemui lemas tengah hari tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Segamat, Penolong Penguasa Bomba Muhd Hazim Abd Razak berkata, mayat remaja berusia 14 tahun itu ditemui kira–kira 450 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

"Seramai 15 anggota dari BBP Segamat, BBP Bandar Baru Segamat dan BBP Muar, digerakkan ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat berhubung kejadian itu," katanya.

Operasi pencarian melibatkan kaedah selaman oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).

Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada pukul 2:45 petang.

Semalam, Ketua Polis Daerah Segamat Supt Ahmad Zamry Marinsah mengesahkan menerima maklumat berhubung kejadian tersebut kira-kira pukul 4.30 petang Jumaat lalu.

Beliau berkata bertindak atas maklumat, sepasukan polis digerakkan ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa datang bersama rakannya dari Felda Palong, Gemas, Negeri Sembilan ke sungai itu untuk bermandi-manda, sebelum dia dilihat hanyut ke tengah sungai akibat arus deras.

“Susulan itu, gerakan mencari dan menyelamat (SAR) dengan kerjasama Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) diaktifkan dengan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dibuka di lokasi kejadian bagi menyelaras tindakan serta-merta,” katanya dalam kenyataan.

Supt Ahmad Zamry berkata operasi melibatkan 35 anggota polis dan bomba dengan 10 unit aset termasuk empat buah bot.

Trainee