JERANTUT, 25 November- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini bertitah, reka bentuk kediaman bertiang antara ciri utama rumah rakyat Al-Sultan Abdullah (RU’RASA ) yang dibina di kawasan pesisir sungai.
Baginda bertitah, reka bentuk rumah bertiang itu juga adalah antara langkah keselamatan sekiranya berlaku musibah banjir.
Justeru, titah baginda lagi mana-mana kediaman yang ingin dibina berhampiran sungai perlu mengambil kira aspek berkenaan bagi mengelakkan ditenggalami air ketika banjir.
"Berdasarkan lokasi, tempat yang diutamakan ialah mereka yang berada dalam kawasan yang berlaku banjir sebab itu kita ada dua bentuk rumah iaitu rumah bertiang dan rumah yang tiada bertiang.
"Saya sendiri tidak tahu lokasi rumah rumah yang telah dipilih oleh pejabat daerah, merekalah yang bertanggungjawab dan saya harap tiadalah penghuni di sini mempersoalkan kenapa rumah saya tiada berkaki, atau tiada bertiang, ini semua kehendak Allah dan rezeki dariada Allah,"katanya.
Baginda bertitah demikian pada majlis penyerahan kunci rumah kurniaan Al-Sultan Abdullah (RU’RASA ) kepada seorang penerima Rozi Rashiddi Kampung Kedondong, Pulau Tawar dekat Jerantut, pagi tadi.
Terdahulu, ketibaan baginda pada 9.30 pagi diiringi anakanda Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Baginda turut mengucapkan tahniah kepada penerima rumah berkenaan dan menitahkan supaya mereka menjaganya dengan baik.
Baginda kemudiannya meluangkan masa beramah mesra dengan penerima kediaman itu yang rumah mereka sebelum ini rosak ketika banjir melanda negeri ini.
Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan sumbangan sebelum meninjau rumah setingkat bertiang berkeluasan 89.1 meter persegi yang mempunyai ruang makan, tiga bilik, tiga bilik air, dilengkapi perabot termasuk set bilik tidur.
Baginda turut berkenan berangkat mengurniakan sumbangan rumah baharu RU’RASA kepada dua lagi penerima di Kampung Bukit Rang.
Sementara itu, seorang penerima Rumah RU’RASA, Rozi Rashid, 56 tahun yang menetap di Kampung Kedondong sejak 20 tahun lalu berkata, dia dan isterinya, Siti Hawa Abdul Ghani, 51 tahun dan lima orang anak yang tidak menyangka menerima kurniaan setelah rumah pusaka milik mentuanya rosak kerana kerap dilanda banjir setiap musim tengkujuh akhir tahun.
"Saya nak ucapkan terima kasih sangat sangat kepada tuanku telah menguniakan rumah yang sangat selesa lah bagi kami sekeluarga dan sebelum ni rumah kami sering dilanda banjir dengan kernia tunku rumah yang bergitu selesa dan sangat kami hargai,"katanya.
Sebelum ini, kediaman yang berdekatan kira-kira 100 meter dengan Sungai Pahang itu kerap dinaiki banjir dan paling ketara ketika bah merah pada 2014 lalu merosakkan keseluruhan rumah pusaka.
Disebabkan itu, mereka hanya berteduh dalam pondok yang dibina sementara.