PUTRAJAYA, 7 Ogos – Sebarang reformasi fiskal yang dilaksanakan kerajaan tidak sesekali mengenepikan kesejahteraan rakyat, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Menurut beliau, meskipun dasar-dasar yang diperkenalkan bukan langkah yang popular, ia tetap dilaksanakan demi manfaat jangka panjang kepada rakyat.
Ini termasuklah penyasaran subsidi elektrik dan diesel serta peluasan skop cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
“Penyasaran subsidi elektrik 2023 dan penstrukturan tarif elektrik Julai lalu tidak menjejaskan majoriti rakyat. Malah, 85% pengguna menikmati penurunan bil elektrik bulan lalu,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2026 di Putrajaya.
Tambah beliau, penyasaran subsidi diesel juga dilaksanakan secara berhati-hati dan tidak membebankan rakyat.
Beberapa kumpulan seperti pengusaha pengangkutan awam, nelayan dan sektor logistik tertentu terus menikmati harga diesel bersubsidi.
“Malah, kerajaan turut menyalurkan bantuan tunai RM200 sebulan kepada pemilik individu, petani dan pekebun kecil yang layak,” jelasnya.
Dalam ucapan sama, Datuk Seri Amir Hamzah turut memaklumkan bahawa asas ekonomi negara kekal kukuh dengan prestasi ringgit yang menggalakkan serta rekod pelaburan tertinggi dalam sejarah.
“Ringgit muncul antara mata wang terbaik di Asia, mengukuh kepada RM4.23 berbanding dolar AS atau hampir 5% setakat 5 Ogos 2025,” ujarnya.
Beliau turut mendedahkan bahawa jumlah pelaburan diluluskan pada tahun 2024 mencecah RM384 bilion merupakan tertinggi dalam sejarah.
Momentum itu berterusan pada suku pertama 2025, dengan nilai pelaburan diluluskan sebanyak RM89.8 bilion, meningkat 3.7% berbanding tempoh sama tahun lalu.
Dalam perkembangan lain, kerajaan turut mencatat pencapaian penting apabila kadar tarif Amerika Syarikat ke atas Malaysia berjaya diturunkan kepada 19%, tanpa mengorbankan kepentingan nasional seperti syarat bumiputera dan pensijilan halal.
Datuk Seri Amir Hamzah berkata kadar baharu itu setara dengan negara serantau seperti Indonesia, Kemboja dan Thailand, membuktikan daya saing Malaysia kekal utuh di mata dunia.