fb fb fb fb fb

RCI kaji kes Batu Puteh, satu keperluan merungkai persoalan

Peranan dan kebijaksanaan kerajaan amat diperlukan dalam isu kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan

KOTA TINGGI, 25 Januari - Peranan dan kebijaksanaan kerajaan amat diperlukan dalam isu kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Justeru, penubuhan Suruhanjaya Diraja (RCI) bagi mengkaji pengendalian perkara berkaitan kes berkenaan amat dialu-alukan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penawar, Fauziah Misri menegaskan, RCI itu merupakan satu keperluan untuk merungkai segala persoalan.

"Ini satu keperluan membincangkan, memperhalusi, merungkai segala permasalahan dengan telus dan saya harap sesiapa yang dipanggil untuk memberi keterangan dapat memberikan keterangan yang telus supaya rakyat tahu fakta sebenar dan keterangan benar dan beri pemahaman kepada rakyat tentang situasi sebenar," katanya.

Sementara itu, ADUN Tanjung Surat, Aznan Tamin mencadangkan supaya dilakukan pemetaan perairan.

Ini bagi membantu memudahkan nelayan mencari hasil laut di kawasan yang sudah ditumpukan tanpa menganggu gugat perairan negara jiran.

"Kerajaan Malaysia dan Singapura hendaklah berunding secara baik terutama dari segi pemetaan perairan antara Malaysia dan Singapura, masih lagi tiada muktamad terhadap pemetaan perairan.

"Saya harap ada sedikit rundingan yang menyaksikan bahawa kerajaan Malaysia dan Singapura bersama- sama bersetuju pemetaan perairan. Saya juga mengharapkan pasukan Maritim kita berada di kawasan berdekatan kerana ini melibatkan beberapa isu negara," kata Aznan.

Sementara itu, beberapa nelayan di kawasan Pengerang meluahkan kesukaran mereka menangkap ikan di perairan berhampiran Pulau Batu Puteh.

"Kadang-kadang dia meronda pun ketika kita menjaring pukat hanyut sampai ke tompok utara, itu kawasan kita dia lajak sampai sana, dia tidak kira orang tengah buka jaring ke rentang jaring ke buang dawai dia tidak kira janji dia himpit, dia ambil gambar suruh keluar," kata Mohamad Jaafar.

Disebabkan itu, pendapatan mereka yang dahulunya boleh menjangkau ke lima angka namun kini, ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Selain dihalau, kawasan pencarian yang semakin mengecil menyebabkan penyusutan rezeki lebih 50 peratus.

Kehadiran kapal hantu yang berlabuh juga mengancam rezeki nelayan.

"Kami ini walaupun nelayan pesisir pantai kami hendak jadi nelayan moden la yang cukup kelengkapan apa semua tapi kalau pendapatan kurang macam mana hendak jadi moden dan kita harap kerajaan dapat bantu kita nelayan yang kecil ini," kata Mohd Mahadir Kamardin.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN