fb fb fb fb fb

RCI Batu Puteh: Pendedahan bukti wujud pengkhianatan kepada negara

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim / Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 6 Disember-Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kes Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan mendedahkan kelemahan pengendalian isu berkenaan selain wujud unsur pengkhianatan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata kelemahan pengendalian berkaitan isu Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan itu tidak sepatutnya berlaku kerana negara perlu perjuangkan setiap inci tanah di dalam negara ini secara sehabis-habisan.

"Tapi nampak ada satu kegagalan ini telah didedahkan.

"Bagi saya bukan satu perkara yang ringan. Iaitu apa-apa kesalahan yang terlibat dalam soal menyerahkan kedaulatan dianggap satu pengkhianatan besar kepada negara", katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Manar, Presint 14 di sini hari ini.

Namun beliau menyeru semua pihak menghormati proses undang-undang susulan isu tersebut. 

Terdahulu Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul mengesahkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan akan dibentang di sidang Dewan Rakyat minggu depan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD