fb fb fb fb fb

Rawatan awal berhasil, Agong pulang ke tanah air esok - PM

FOTO FACEBOOK Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

MANAMA, 20 Februari- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kesihatan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim semakin baik selepas menerima rawatan konservatif di Bahrain dan baginda dijangka pulang ke tanah air esok.

Anwar berkata dalam lawatan rasminya ke negara itu ketika ini, beliau berkesempatan menghadap baginda sebanyak dua kali dan mendapati rawatan awal yang diberikan menunjukkan hasil positif.

"Alhamdulillah, rawatan konservatif di peringkat awal itu nampak berhasil. Kesihatan baginda jauh lebih baik dan oleh itu sebelum meneruskan rawatan berikutnya, baginda putuskan untuk pulang dahulu (ke tanah air) esok dan Insya-Allah meneruskan rawatan jika perlu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media hari ini selepas mengakhiri lawatan rasmi ke Bahrain atas jemputan Putera Mahkota Sheikh Salman Hamad Al Khalifa.

Menerusi catatan dalam Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Perdana Menteri turut mempersembahkan perkembangan semasa negara kepada Seri Paduka Baginda selain bertanyakan khabar kesihatan baginda.

Dalam perkembangan lain, Anwar memaklumkan bahawa pelantikan Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat yang baharu telah disembah maklum kepada Sultan Ibrahim.

"Ya, tetapi seperti mana yang saudara tahu, sehingga hal ini disahkan, kita akan umumkan," katanya.

Sebelum ini, kerajaan telah mempunyai calon bagi menggantikan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang tamat perkhidmatannya sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat selepas dua tahun memegang jawatan itu sejak 9 Februari 2023.

Menurut kenyataan Kementerian Luar, pemilihan calon baharu dibuat berdasarkan pengalaman luasnya sebagai anggota pentadbiran negara.

Sementara itu, Anwar menegaskan kerajaan tidak pernah menyekat mana-mana pemimpin luar daripada bertemu dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Menurutnya, dakwaan yang dilontarkan berhubung perkara itu tidak seharusnya diperbesar-besarkan.

"Tidak perlu diperbesar-besarkan. Jika ada yang mahu berjumpa, tiada masalah. Baru-baru ini, pemimpin dari Thailand, Jepun, Indonesia, dan Turkiye berkunjung ke Malaysia, namun tiada permintaan untuk bertemu. Jika mereka mahu berjumpa sekali pun, saya tidak akan menghalang. Itu bukan satu isu," katanya lagi.

2002 PM   JUMPA AGONG 3
Anwar Ibrahim pada sidang media hari ini selepas mengakhiri lawatan rasmi ke Bahrain atas jemputan Putera Mahkota Sheikh Salman Hamad Al Khalifa/RTM

SITI AISHAH MD ISA