SEPANG, 8 Oktober - Lebih 600 rakyat Malaysia hadir bagi menyambut kepulangan sukarelawan negara yang menyertai Misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, semalam (Selasa).
Salah seorang yang hadir Nur Hannan Athirah Mohamad Azri berkata semangat dan perjuangan yang ditunjukkan oleh sukarelawan terlibat telah membuka mata dan memberi kesan kepada rakyat.
“Rasa sedih sebab mereka wakilkan kita semua untuk memperjuangkan hak asasi manusia terhadap Gaza. Kesedaran rakyat Malaysia sekarang pun makin meningkat. Apa yang diperjuangkan oleh para pempengaruh dan sukarelawan ini sudah memberi impak besar kepada seluruh rakyat,” katanya ketika ditemui RTM di sini.
Sementara itu, seorang lagi rakyat Malaysia, Vasantha Kumaran menyatakan kegembiraannya kerana melihat para sukarelawan pulang dengan selamat.
“Saya sangat gembira mereka selamat tiba. Masa mereka ditahan, saya risau, saya dan anak ikut perkembangan di berita. Hari ini saya bawa anak datang supaya dia sendiri lihat perjuangan sebenar,” katanya.
Misi GSF yang disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara, termasuk Malaysia belayar menuju ke Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel dengan membawa bekalan penting untuk penduduk Palestin yang terjejas akibat serangan berterusan rejim Zionis.
Bagaimanapun nasib tidak menyebelahi kesemua aktivis termasuk 23 aktivis rakyat Malaysia apabila ditahan tentera rejim Zionis pada 2 Okt, selepas kapal mereka dipintas ketika berada di perairan zon merah R3, di Laut Mediterranean seterusnya dibawa ke pelabuhan Ashdod, Israel.