fb fb fb fb fb

Rasuah: SPRM tahan 17 individu, rampas wang tunai RM4.4 juta

Foto SRPM

KUALA LUMPUR, 13 Jun- Wang tunai berjumlah RM4.4 juta berjaya dirampas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai hasil rasuah pegawai-pegawai kastam.

Turut ditahan 17 individu termasuk pegawai kastam, pengarah dan pekerja syarikat bagi membantu siasatan kes rasuah di Pelabuhan Klang baru-baru ini.

Terdahulu, SPRM dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyita 19 kontena yang membuat pengisytiharan palsu sebagai barangan tidak bercukai berjumlah RM3.5 bilion.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, ketika dihubungi mengesahkan penahanan kesemua suspek.

Siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 17(b) dan Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Turut disita empat buah motosikal bernilai RM28,000, sebuah kereta jenis Toyota bernilai lebih RM200,000, sebuah kereta BMW terpakai, barang-barang kemas, jam tangan mewah dan sebidang lot tanah yang kesemuanya dibeli secara tunai.

Sebanyak 12 akaun syarikat dan individu berjumlah RM2 juta turut dibekukan.

Ia merupakan kejayaan terbesar SPRM dalam mengekang isu rasuah dalam kalangan penguat kuasa dan membabitkan isu ketirisan hasil negara.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM