fb fb fb fb fb

Rasuah pegawai MBIP, pemungut barangan terpakai mengaku tidak bersalah

Foto Hiasan

JOHOR BAHRU, 3 April- Seorang pemungut barangan terpakai mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor, atas pertuduhan memberi rasuah RM500 kepada seorang Pembantu Penguatkuasa Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), pada 26 Jun tahun lalu.

Pengakuan dibuat tertuduh, Lee Swee Huat, 55 tahun, dihadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu pada pukul 2.30 petang di Jalan Perlaluan Makmur 73, Taman Damai Jaya, Johor Bahru.

Rasuah diberi sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang kepada syarikat Swee Huat Enterprise, kerana meletakkan barangan lusuh di tempat awam tanpa kebenaran MBIP.

Hakim membenarkan tertuduh dijamin RM5,000 dengan seorang penjamin, selain perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Johor Bahru, setiap bulan.

Kes akan disebut semula 5 Mei nanti.

Tertuduh diwakili peguam Mohamad Azrulsani Othman manakala kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Rais Adha Ramli, dan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nur Zahida Muhamad Rozi, mengikut Seksyen 17 (B) Akta SPRM 2009.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM