BUTTERWORTH, 24 Ogos - Seorang anggota polis berpangkat sarjan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah tahun lepas.
Tertuduh, Mohd. Azlan Mohd. Nor, 36 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Mengikut dua pertuduhan, tertuduh yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah didakwa meminta suapan wang masing-masing RM1,500 daripada dua individu sebagai dorongan untuk tidak mengambil apa-apa tindakan ke atas mereka yang disiasat.
Kesalahan dilakukan di Jabatan Siasatan Jenayah, IPD Seberang Perai Tengah pada 5.40 petang, 15 Julai tahun lepas.
Tertuduh turut didakwa menerima rasuah RM1,300 daripada salah seorang individu terbabit di tempat sama pada 8 Ogos 2021 pukul 6.25 petang.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azlan Basri, manakala tertuduh diwakili peguam, Chandra Segaran.
Tertuduh dibenarkan diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin disamping syarat tambahan perlu menyerahkan dokumen perjalanan, melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan dan dilarang menganggu saksi.
Hakim menetapkan 26 september depan sebagai tarikh sebutan semula kes.