fb fb fb fb fb

Rasionalisasi subsidi RON95 dahulu, cukai karbon tahun hadapan

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Amir Hamzah Azizan/RTM

KUALA LUMPUR, 17 JUN -Kerajaan akan memberi keutamaan kepada pelaksanaan rasionalisasi subsidi petrol RON95 tahun ini sebelum memperkenalkan cukai karbon bermula tahun hadapan.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

"Langkah itu merupakan sebahagian daripada pendekatan berperingkat kerajaan dalam memperkukuh dasar fiskal dan menyokong agenda peralihan tenaga negara ke arah mencapai sasaran sifar bersih menjelang 2050." jelas beliau semasa sesi panel khas bertajuk “Delivering Malaysia’s Energy Transition” berlangsung sempena Energy Asia 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

Panel khas itu turut menghimpunkan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), serta Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Liew Chin Tong, bagi berkongsi wawasan dan strategi mempercepat transformasi tenaga negara melalui dasar progresif, reformasi peraturan dan kerjasama rentas kementerian.

Antara topik utama yang dibincangkan termasuklah pendekatan penyahkarbonan paling berkesan untuk Malaysia, keberkesanan dasar semasa dalam mencapai sasaran sifar bersih, mekanisme menarik pelaburan, serta potensi Malaysia sebagai peneraju serantau dalam agenda tenaga menerusi kerjasama ASEAN dan global.

AZRUL FAIZAL JUSOH