KUALA LUMPUR, 30 Januari - Operasi perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Ampang/Sri Petaling dan Laluan Monorel Kuala Lumpur berjalan lancar selepas melanjutkan waktu puncak hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd, Amir Hamdan berkata Rapid Rail telah menambah 34 buah bas perantara percuma di stesen pertukaran Masjid Jamek dan 100 kakitangan sokongan yang ditempatkan untuk mengawal dan membantu penumpang.

"Kami akan pastikan faktor keselamatan dahulu apabila kerja pembaikan telah pulih kami juga akan melakukan percubaan di laluan tersebut untuk memastikan keselamatan kepada pengguna.
"Pihak kami masih lagi belum dapat memastikan secara jelas bila kami akan membuka laluan tersebut kepada pengguna. Walau bagaimanapun ini adalah keutamaan kami untuk memastikan ianya dilakukan dalam keadaan cepat dan selamat kepada pengguna," katanya ketika ditemui pemberitaselepas melakukan tinjaun di stesen LRT Masjid Jamek, di sini.
Tambah Amir, kerja-kerja pembaikan jajaran yang bengkok berhampiran stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bandaraya akan dilakukan dalam masa terdekat.
Ini selepas Rapid Rail Sdn. Bhd. (Rapid Rail) memuktamadkan cadangan daripada perunding dan pakar kontraktor yang dilantik.
Semalam, Rapid KL mengumumkan lanjutan waktu puncak LRT laluan Ampang/Sri Petaling dan Monorel dilaksanakan bagi mengurangkan kesesakan di beberapa stesen rel, khususnya di stesen pertukaran Masjid Jamek dan Hang Tuah.