fb fb fb fb fb

Rapid KL lancar tren, bas bertemakan adiwira Mechamato

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 Januari- Rapid KL hari ini melancarkan tren dan bas bertemakan ikon adiwira Malaysia Mechamato.

Ketua Pegawai Operasi Rapid Rail (LRT), Nor Azmi Mohd Yusof berkata, ia adalah sebahagian daripada usaha pihaknya untuk menjadikan pengangkutan awam lebih kreatif dan menarik kepada generasi muda terutamanya golongan kurang upaya (OKU).

"Kalau kita lihat dalam kartun ini pun kalau kita nampak ada yang berkerusi roda jadi yang itu sebenarnya sesuatu yang kita tunjukkan pada masyarakat ataupun golongan-golongan muda juga.

"Jadi sebenarnya kita tidak mahu diskriminasi antara orang golongan upaya kerana kita beri peluang sama kepada semua," katanya.

Bagi Ketua Pegawai Operasi Monsta, Kee Yong Pin menerusi kerjasama bersama Prasarana, semua lapisan masyarakat berpeluang untuk melihat Mechamato dengan lebih dekat lagi.

"Kita lihat di negara-negara lain, untuk pengangkutan awam mereka sentiasa membuat kerjasama dengan watak-watak supaya anak-anak diberi pendedahan sejak kecil kepada pengangkutan awam. Jadi kami sangat gembira kerana Prasarana juga tampil dengan dengan idea ini, bekerjasama dengan adiwira tempatan," katanya.

Serentak dengan pelancaran itu, Rapid KL menganjurkan aktiviti Ride & Catch: Robot Hunt with Mechamato bermula dari 7 Januari sehingga 31 Mei 2025.

Majlis pelancaran turut dimeriahkan dengan kehadiran pelajar-pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dari Sekolah Kebangsaan Bandar Tun Hussein Onn 2.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE