fb fb fb fb fb

Rapid KL beroperasi 24 jam sempena sambutan Hari Kebangsaan

Foto Prasarana

KUALA LUMPUR, 23 Ogos - Semua perkhidmatan rel Rapid KL, Bus Rapid Transit (BRT) Laluan Sunway, beberapa laluan bas serta zon Rapid KL On-Demand (ROD) terpilih akan beroperasi tanpa henti bermula pukul 6 pagi 30 Ogos hingga 11.30 malam 31 Ogos ini.

Ia bagi memastikan kelancaran pergerakan orang ramai sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Amir Hamdan berkata bagi perkhidmatan bas tambahan pula, 86 laluan melibatkan 235 unit bas akan beroperasi pada malam Ambang Merdeka.

"Manakala pada Hari Kebangsaan, jumlahnya ditingkatkan kepada 100 laluan dengan 308 unit bas bagi menampung keperluan orang ramai.

"Bagi perkhidmatan ROD, sebanyak 20 buah van disediakan merangkumi lima zon dari Stesen Putrajaya Sentral serta satu zon di Daerah Pusat Perniagaan dan tempahan boleh dibuat melalui aplikasi MyRapid PULSE dengan kadar bayaran RM1," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pelancaran kempen 'Denyut Nadi Merdeka' di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Pasar Seni di sini, hari ini.

Tambah beliau, dengan lebih 5,000 kakitangan barisan hadapan, pihaknya yakin perkhidmatan tahun ini berjalan lebih lancar dan selamat, sambil mengharapkan rakyat Malaysia memanfaatkan kemudahan tersebut serta menghayati semangat kemerdekaan.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN