Ranhill SAJ laksana bekalan air berjadual di Kluang, Pontian

Ranhill SAJ

JOHOR BAHRU, 7 Februari- Operator air Johor, Ranhill SAJ Sdn Bhd (Ranhill SAJ) melaksanakan Bekalan Air Berjadual (BAB) di daerah Kluang dan Pontian bermula tengah malam tadi hingga 28 Februari susulan paras tadahan Empangan Machap yang menunjukkan trend penurunan kini berada pada tahap pemantauan rapi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ranhill SAJ laksana Bekalan Air Berjadual di Kluang dan Pontian hingga 28 Februari bagi menstabilkan operasi LRA.
  • Orang ramai dinasihatkan guna air berhemat, elak pembaziran dan simpan bekalan asas secukupnya.
  • Lori tangki dan tangki statik disediakan serta pemantauan dan semakan jadual akan dibuat mengikut perkembangan.

Menurut Ranhill SAJ, Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam masih beroperasi dan terus membekalkan air terawat kepada pengguna, namun pada kapasiti lebih terkawal bagi memastikan kesinambungan bekalan.

Ranhill SAJ memaklumkan, BAB dilaksanakan sebagai langkah pengurusan sementara bagi menstabilkan operasi LRA serta memastikan agihan bekalan air dapat dilaksanakan secara adil dan mencukupi kepada semua kawasan terlibat sepanjang tempoh berkenaan.

“Sekiranya keadaan bertambah baik, termasuk cuaca yang menggalakkan dan hujan lebat di kawasan tadahan, jadual BAB akan disemak semula,” menurut Ranhill SAJ dalam kenyataan.

Orang ramai turut dinasihatkan supaya menggunakan air secara berhemat, mengelakkan pembaziran serta menyimpan bekalan air secukupnya bagi kegunaan asas.

Bekalan air alternatif melalui lori tangki dan tangki statik akan terus disediakan mengikut keperluan di kawasan strategik, manakala situasi semasa akan dipantau dan perkembangan terkini dimaklumkan dari semasa ke semasa.