fb fb fb fb fb

Rangkaian 5G: Kementerian Digital umum Ahli Lembaga Pengarah DNB baharu

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 25 April- Pelantikan Ahli Lembaga Pengarah baharu Digital Nasional Bhd (DNB) adalah perkembangan penting seperti digariskan di bawah Perjanjian Langganan Saham (SSA) bagi penstrukturan semula rangkaian 5G.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo, berkata barisan ahli itu yang baru dibentuk semula akan mengadakan mesyuarat tidak lama lagi.

"SSA ditandatangani antara DNB, Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) dan lima pengendali rangkaian mudah alih (MNO), iaitu Maxis Bhd, CelcomDigi Bhd, Telekom Malaysia Bhd, U Mobile Sdn Bhd dan YTL Communications Sdn Bhd, pada 1 Disember 2023.

"Terdapat dua fasa utama kepada peralihan.

"Pertama, rangkaian 5G DNB mencapai 80 peratus liputan kawasan berpenduduk dan penyertaan MNO dalam DNB.

"Kedua, peralihan kepada Dwi rangkaian (DN) dan pelupusan ekuiti kerajaan dalam DNB yang mana beberapa MNO akan kekal dengan DNB.

"Manakala MNO yang selebihnya akan berpindah ke rangkaian 5G kedua dan melepaskan ekuiti mereka dalam DNB," menurut kenyataan itu.

Menurutnya, aspirasi kerajaan mengikut pengumuman dasar bahawa SSA, yang merupakan proses penting dalam fasa pertama, akan membolehkan penyertaan semua MNO dalam DNB sebagai pemegang saham sebelum peralihan kepada rangkaian 5G.

Selepas SSA selesai, MNO dijangka secara kolektif melanggan 70 peratus ekuiti dalam DNB (14 peratus setiap MNO).

Manakala MoF Inc memegang baki 30 peratus ekuiti dan bahagian khas yang akan memberikan MoF Inc hak istimewa tertentu bagi satu tempoh yang ditetapkan.

Gobind berkata perkembangan terkini itu merupakan satu langkah penting ke arah memenuhi komitmen kerajaan terhadap pelaksanaan dasar 5G dwi rangkaian.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM