PUTRAJAYA, 2 April - Rangka Kerja Dasar Sumber Manusia Negara bakal dilancarkan pada sambutan Hari Pekerja 2024, Mei depan.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata rangka kerja itu akan menyediakan garis panduan kepada Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan kerajaan keseluruhannya dalam melaksanakan program pembangunan modal insan negara.
Bakal dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Sim berkata kerangka dasar berkenaan akan menangani jurang dan percanggahan yang wujud dalam dokumen dasar sedia ada.
"Contohnya tentang agenda masyarakat menua, perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI), ekonomi hijau dan penglibatan wanita sektor pekerjaan, kita lihat semua ini untuk rangka satu garis panduan dan strategi untuk memandu dasar dan program KESUMA," katanya ketika ditemui pemberita selepas prapelancaran Hari Pekerja 2024, di sini.
Sambutan Hari Pekerja tahun ini akan menyaksikan penyertaan lebih 3,000 pekerja daripada kesatuan sekerja, badan berkanun, orang awam dan sektor swasta.