fb fb fb fb fb

Rangka dasar rentas jabatan, kementerian, jamin dasar lebih inklusif - PM

Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 17 Julai- Perangkaan dasar negara perlu merentas semua jabatan dan kementerian bagi menjamin dasar yang lebih inklusif dan berjaya terutama dalam bidang bioekonomi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagi mencapai objektif berkenaan, setiap jabatan dan kementerian tidak boleh bergerak secara silo, seperti yang terkandung dalam inti pati Ekonomi MADANI.

Jelasnya, sesuatu penemuan baharu dalam bioekonomi tidak akan tercapai sekiranya pendekatan lama masih diguna pakai.

"Sebab itu saya selalu menggesa supaya dalam merangka dasar dan melaksanakannya... pendekatan kita dalam Kerajaan MADANI harus melakukan sedikit anjakan... mesti cari jalan supaya merentas semua jabatan dan kementerian.

"Sebagai Perdana Menteri, saya komited untuk melihat industri ini berkembang dengan cara yang inklusif dan berlanjutan… kemajuan teknologi dan ekonomi tidak mengorbankan nilai-nilai kemanusiaan.

"Inilah erti sebenar 'Bioekonomi Untuk Semua' – satu visi yang kemajuan dalam bioteknologi membawa kesejahteraan dan keadilan kepada semua lapisan masyarakat," katanya dalam ucaptama merasmikan Jelajah Bioekonomi Kebangsaan di sini hari ini.

Perdana Menteri turut meminta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang untuk menyenaraikan 100 saintis dalam bidang bioteknologi bagi mengadakan program untuk menarik minat pelajar dalam bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) di 100 sekolah di seluruh Malaysia.

SITI AISHAH MD ISA