SHAH ALAM, 1 Ogos - Wakil peniaga menyambut baik inisiatif penskalaan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) menerusi Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) yang dibentang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat semalam.
Mereka yakin inisiatif berkenaan akan memberi impak besar terhadap kecekapan dan daya saing pengusaha tempatan serta membuka peluang untuk PMKS menembusi pasaran yang lebih luas termasuk pasaran antarabangsa yang sebelum ini sukar dicapai.
Keyakinan itu disuarakan Setiausaha Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Negeri Selangor, Muhammad Haidil Adnan.
"Sebagai wakil kepada peniaga peniaga kecil, inisiatif itu akan membawa kepada kecekapan yang lebih tinggi dan kos yang lebih murah perunit. Ia juga berpotensi untuk menembusi pasaran yang lebih luas termasuk pasaran antarabangsa.
"Kerjasama yang sangat bagus antara peniaga dan GLC dapat membantu peniaga-peniaga kita dari segi modal. Jadi dengan bantuan daripada GLC akan menambahkan lagi modal dan semangat untuk peniaga dan penjaja-penjaja kecil lebih berdaya saing," katanya.
Menurut Mohd Haidil, RMK13 yang dibentangkan juga disifatkan sangat prihatin terhadap komuniti perniagaan kecil dan sederhana.
Pandangan sama dipersetujui peniaga Shamsul Zairi Mohd Mokhtar yang percaya RMK13 membuka peluang kepada para peniaga meningkatkan produktiviti kecekapan dan daya saing.
"Dana pelaburan segera dan skim pembayaran yang disebut memberi harapan untuk akses lebih mudah kepada modal kerja. Ini sangat penting bagi kelangsungan dan pertumbuhan peniaga kecil di atas skim peningkatan kapasiti selain mampu memberi peniaga meningkatkan produktiviti kecekapan dan daya saing," ujarnya.
Dalam pada itu, Yang Dipertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Negeri Selangor, Hanim Mohd Sa'ed berkata komitmen jangka panjang kerajaan menerusi Pelan 2030 dilihat sebagai usaha terancang yang memberikan keyakinan kepada komuniti perniagaan kecil untuk terus berkembang dan menyumbang kepada pembangunan negara.
"Jadi benda ini memang eloklah. Terima kasih kepada Perdana Menteri kerana telah membantu untuk menyelaraskan balik macam dana-dana GLC. Kami yang merupakan peniaga kecil amat menyokong apa yang dibuat oleh Perdana Menteri kita, "katanya.