fb fb fb fb fb

Rancakkan sektor pelancongan, Kabinet Thailand lulus RUU kompleks hiburan

Foto REUTERS

BANGKOK, 27 Mac- Kabinet Thailand pada Khamis meluluskan draf undang-undang bagi menubuhkan kompleks hiburan sebagai langkah untuk merancakkan sektor pelancongan dan menjana pertumbuhan ekonomi.

Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra, ketika mengesahkan kelulusan Kabinet terhadap Rang Undang-Undang Kompleks Hiburan, menjelaskan bahawa kompleks tersebut tidak boleh disamakan dengan kasino.

"Kompleks hiburan bukanlah setara dengan kasino kerana kasino hanya akan merangkumi tidak lebih daripada 10 peratus daripada keseluruhan kawasan kompleks.

"Bakinya, sebanyak 90 peratus, akan menampilkan dewan konsert besar berkapasiti 50,000 orang, stadium tertutup, taman tema air, hotel, dan restoran. Kemudahan ini dijangka menjana pendapatan antara 119 bilion hingga 238 bilion baht," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Rumah Kerajaan pada Khamis.

Beliau turut menjelaskan bahawa rang undang-undang itu bertujuan untuk mempromosikan pelancongan inovatif dengan beralih daripada pelancongan tradisional atau bermusim kepada model "pelancongan buatan manusia".

Paetongtarn berkata cadangan itu telah melalui proses rundingan awam dengan penglibatan lebih 80,000 peserta, dengan 80 peratus menyatakan sokongan.

"Inisiatif ini dijangka meningkatkan jumlah pelancong antarabangsa sebanyak lima hingga 10 peratus setiap tahun, mewujudkan peluang pekerjaan baharu, serta menjana hasil cukai yang besar daripada kasino dan perniagaan berkaitan.

"Pendapatan ini akan disalurkan semula untuk pembangunan negara," katanya.

Bagaimanapun, Perdana Menteri menegaskan bahawa peraturan ketat akan dilaksanakan bagi mengelakkan ketagihan perjudian dan memastikan operasi dijalankan secara bertanggungjawab.

Dengan kelulusan Kabinet, rang undang-undang itu kini akan melalui proses perundangan di Dewan Perwakilan dan Senat.

Walaupun tiada garis masa khusus diberikan untuk penguatkuasaannya, Paetongtarn menyatakan bahawa beberapa aspek, seperti ambang kewangan yang dicadangkan sebanyak 50 juta baht bagi pelabur, akan dibincangkan lebih lanjut dalam perbahasan Parlimen.

Mengulas mengenai kebimbangan terhadap penentangan dan bantahan, beliau berkata kerajaan bersedia mendengar semua pandangan serta akan terus menekankan manfaat lebih luas daripada inisiatif itu.

"Inisiatif ini adalah mengenai mencipta peluang untuk negara kita," katanya, sambil merujuk kepada unjuran peningkatan hasil cukai tahunan antara 8 bilion hingga 35 bilion baht, dengan cukai khusus kasino dijangka menyumbang sekurang-kurangnya 3.26 bilion baht.

Rang undang-undang yang dicadangkan oleh Kementerian Kewangan pada Januari itu bertujuan untuk menyeragamkan pembangunan kompleks hiburan bersepadu serta menggalakkan pelancongan dan pelaburan.- BERNAMA

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM