SEREMBAN, 19 Februari- Lebih 2,500 penjawat awam wanita bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan dibenarkan pulang seawal pukul 2.00 petang pada setiap hari Jumaat sepanjang bulan Ramadan ini.
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata mereka mempunyai pilihan untuk memulakan waktu kerja lebih awal pada 7.30 pagi tanpa waktu rehat tengah hari.
"Cadangan waktu bekerja anjal ini telah dibawa ke Mesyuarat Exco dan dipersetujui untuk dilaksanakan khusus bagi penjawat awam wanita.
"Mereka boleh masuk kerja pada 7.30 pagi dan pulang 2.00 petang tanpa rehat tengah hari," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.