Ramadan paling bermakna selepas 18 tahun terpisah

FOTO RTM

LENGGONG, 15 Februari — Ramadan kali ini membawa makna amat mendalam buat seorang wanita rakyat Malaysia apabila beliau akhirnya kembali ke pangkuan keluarga selepas 18 tahun terpisah, sekali gus menamatkan kehidupan penuh kepayahan di perantauan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Norida pulang ke Malaysia selepas 18 tahun terpisah, menamatkan kehidupan sukar di perantauan.
  • Dia menjadi mangsa keganasan rumah tangga dan menghadapi kekangan dokumen, menyukarkan peluang pulang.
  • Kepulangan diselaraskan oleh kerajaan dan Wisma Putra; Norida berharap membawa balik anak lelakinya.

Norida Akmal Ayob, 45, pulang ke tanah air bersama anak perempuannya, Nur Fateen Akmadiana Badi, 20 tahun, selepas sekian lama menetap di Lombok, Indonesia.

Beliau mengikuti suaminya yang merupakan warganegara negara berkenaan.

Sepanjang perkahwinan, Norida beberapa kali berhasrat pulang ke Malaysia tetapi tidak diizinkan, selain berdepan kekangan dokumen perjalanan selepas pasportnya tamat tempoh.

Norida mendakwa sering menjadi mangsa keganasan rumah tangga serta menerima ugutan yang menyebabkan beliau hidup dalam ketakutan dan meninggalkan trauma kepada anak-anaknya.

“Masa nak bercerai dia pukul dan tendang saya. Anak-anak tengok. Waktu itu sebelum subuh, dia kejut saya dan terus tendang. Seminggu saya tak boleh berjalan,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarganya di Kampung Bukit Sapi, di sini.

Beliau berkata kehidupan di perantauan tanpa sokongan keluarga amat sukar, lebih-lebih lagi ketika anak-anak masih kecil.

“Di sana saya hidup sebatang kara. Anak-anak masih kecil masa itu. Sekarang mereka dah besar, itu yang buat saya nekad nak balik. Duduk di tempat orang tiada gunanya, lebih baik di tanah air sendiri,” katanya lagi.

Norida berkata suaminya pernah mengugut dan menegaskan bahawa beliau tidak akan dapat kembali ke Malaysia, membuatkan beliau merasakan tiada lagi harapan untuk pulang.

Namun takdir akhirnya mempertemukan semula dirinya dengan keluarga selepas bertahun-tahun terpisah.

Perkahwinan itu berakhir kira-kira setahun lalu.

Selepas berpisah, Norida bekerja sebagai tukang sapu bagi menyara anak-anak dan menyifatkan kepulangannya ibarat keluar daripada kandang harimau selepas bertahun-tahun hidup dalam tekanan.

Beliau bersyukur dapat pulang serta merakamkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia, khususnya Timbalan Menteri Dalam Negeri dan Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia yang membantu menyelaras kepulangannya.

Norida turut berharap dapat membawa pulang anak lelakinya berusia 18 tahun yang masih berada di Indonesia.

“Anak lelaki saya memang mahu pulang dan tinggal bersama saya di sini. Cuma dia lahir di Indonesia. Kalau boleh, saya harap ada bantuan supaya dia dapat kembali ke Malaysia,” katanya.

Usaha membawa pulang Norida dan anak perempuannya diselaraskan melalui kerjasama Wisma Putra, Kedutaan Malaysia di Indonesia, Jabatan Imigresen Malaysia serta pihak berkuasa Indonesia.

Buat masa ini, Norida mahu memberi tumpuan untuk memulihkan diri dan menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu di tanah air, selain berharap dapat membina masa depan lebih stabil buat dirinya dan anak-anak.