
PUTRAJAYA, 19 Februari – Umat Islam diseru menjadikan bulan Ramadan sebagai medan untuk memperbaiki diri, meningkatkan prestasi kerja dan muhasabah diri.
- Ramadan sebagai madrasah untuk memperbaiki diri dan bersikap tawaduk.
- Gunakan bulan ini untuk muhasabah, refleksi dan introspeksi kelemahan diri.
- Nilai keberkesanan ibadah melalui peningkatan iman, akhlak dan disiplin.
- Manfaatkan semangat Ramadan untuk memperkukuh integriti, moral dan kemanusiaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Ramadan merupakan “madrasah” terbaik untuk mendidik umat Islam supaya bersikap tawaduk di samping menilai kelemahan diri serta berusaha meningkatkan kualiti kehidupan dalam pelbagai aspek.
“Macam saya sebutlah tadi, bulan Ramadan ini kita refleksi, introspeksi, muhasabah, fokus kerja dengan baik, baiki apa-apa kelemahan itu sajalah yang nak pesan.”
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berucap pada Program Perdana Menteri Bersama Kementerian Dalam Negeri dan Ihya’ Ramadan di sini.
Datuk Seri Anwar turut menegaskan bahawa keberkesanan ibadah sepanjang Ramadan seharusnya dapat diukur melalui peningkatan iman, akhlak, syahsiah, disiplin dan prestasi kerja berbanding sebelumnya.
Sehubungan itu, beliau berharap semangat Ramadan dimanfaatkan sepenuhnya bagi memperkukuh nilai moral, integriti dan kemanusiaan sebagai asas penting dalam pembangunan negara.