fb fb fb fb fb

Ramadan: Maritim Kelantan perkukuh rondaan, cegah jenayah laut

FOTO RTM

PASIR PUTEH, 26 Februari- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan meningkatkan rondaan di perairan negeri itu sepanjang Ramadan bagi mengelakkan pencerobohan nelayan asing, penyeludupan dan jenayah laut.

Pengarahnya Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi menegaskan operasi akan berjalan seperti biasa sepanjang Ramadan bagi memastikan keselamatan perairan.

"Maritim Kelantan tidak akan berhenti beroperasi sepanjang Ramadan. Rutin harian akan diteruskan seperti biasa dengan rondaan tetap dilaksanakan.

"Komuniti nelayan juga diingatkan agar sentiasa berhati-hati di laut terutama dengan keadaan cuaca yang tidak menentu," katanya.

Erwan berkata rondaan berkala tetap dijalankan di perairan seluas 22,000 kilometer persegi dengan aset kapal dan bot peronda serta lebih 30 anggota yang ditugaskan berkawal 24 jam mengikut syif yang ditetapkan.

Tambah beliau, statistik pencerobohan nelayan asing di perairan negara juga dianggarkan kekal sama tanpa mengira bulan kerana penjenayah laut sentiasa mencari peluang mencuri hasil laut negara.

Beliau ditemui pemberita pada Program Ujian Kemahiran Menembak Senjata Kecil Bersama Agensi dan Media di Lapang Sasar Gong Kedak di sini hari ini.

SITI AISHAH MD ISA