fb fb fb fb fb

Rakyat sambut baik pengecualian deposit akaun bil elektrik atas nama sendiri

(FOTO HIASAN)

ALOR SETAR, 17 Oktober- Pengecualian bayaran deposit akaun bil elektrik atas nama sendiri yang diumumkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2024, Jumaat lalu, disambut baik rakyat terutama golongan belia.

Penjawat awam, Anuar Razak, 26, dari Taman Setia berkata, ia adalah perkara yang baik untuk meringankan beban kewangan terutama bagi mereka yang merancang untuk membeli rumah pada tahun hadapan.

“Saya amat berterima kasih kepada Perdana Menteri kita atas keprihatinan beliau kerana memberi pengecualian deposit (akaun) elektrik. Saya amat bersyukur dan menyambut baik pengumuman tersebut yang mana ia memberi impak besar kepada kami, golongan belia ni,” katanya ketika ditemui RTM hari ini.

Sementara itu, Siti Nur Najiha Abd Razak, 23, dari Taman Pelangi, Kuala Kedah pula berharap kerajaan dapat memperincikan kriteria mereka yang layak mendapat insentif tersebut dan syarat-syarat yang ditetapkan bagi mengelak sebarang kekeliruan.

“Saya rasa ia adalah perkara yang baik untuk meringankan beban kewangan, terutamanya pada masa sukar seperti ini, contohnya sekarang saya dalam perancangan untuk membeli rumah tahun hadapan, jadi pengecualian bayaran tersebut dapat membantu juga mengurangkan beban saya sedikit sebanyak, maksudnya duit yang sepatutnya digunakan umtuk membayar pendahuluan rumah tersebut boleh saya gunalah untuk kegunaan keperluan yang lain.

“Pun begitu, saya berharap kerajaan akan memperincikan syarat dan peraturan pengecualian ini supaya masyarakat lebih jelas, pemahaman tentang adakah satu nama untuk satu rumah sahaja atau bagaimana dan sebagainya,"katanya.

Selain pengecualian deposit akaun bil elektrik atas nama sendiri, kerajaan turut bersetuju untuk meneruskan pemberian rebat bil elektrik sehingga RM40 sebulan kepada isi rumah miskin tegar.

Pemberian subsidi itu melibatkan peruntukan sebanyak RM55 juta.

Datuk Seri Anwar berkata, kerajaan juga melaksanakan subsidi bersasar dengan melepaskan sebahagian subsidi bagi 10%s penggunaan elektrik tertinggi dan mengekalkan subsidi yang sama bagi 90% pengguna.


(Siti Nur Najiha Abd Razak)


(Anuar Razak)

Media Baharu