fb fb fb fb fb

Rakyat Pulau Pinang diminta kurangkan penggunaan air 10 peratus- PBAPP

Kapasiti efektif Empangan Air Itam di sini juga dilaporkan menurun sebanyak 0.8 peratus iaitu daripada 38.1 peratus Jumaat lepas kepada 37.3 peratus semalam.

GEORGE TOWN, 18 Mac - Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) hari ini meminta semua pengguna air negeri ini untuk mengurangkan penggunaan air sebanyak 10 peratus dengan serta-merta.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, K. Pathmanathan berkata ia berikutan anggaran penggunaan air di negeri ini dijangka mencapai 927 juta liter sehari (JLH) sehari berbanding purata harian 877 JLH yang direkodkan pada 2023, iaitu peningkatan mendadak sebanyak 50 JLH.

“Kenaikan mendadak dalam penggunaan air, terutamanya dalam keadaan situasi kekurangan air seperti di Pulau Pinang, agak kurang bijak dan tidak mampan kerana ini telah menyebabkan masalah di beberapa kawasan di Daerah Barat Daya (DBD) dan Seberang Perai Selatan (SPS),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga memaklumkan kapasiti efektif Empangan Air Itam di sini juga dilaporkan menurun sebanyak 0.8 peratus iaitu daripada 38.1 peratus Jumaat lepas kepada 37.3 peratus semalam.

Justeru itu, beliau berkata pihaknya terpaksa melepaskan lebih 11 JLH air dari empangan dan Loji Rawatan Air (LRA) Air Itam terpaksa mengeluarkan 25 JLH air terawat untuk memenuhi peningkatan permintaan.

"Pelaksanaan Pelan Tindakan Empangan Air Itam 2024 (AIDAP 2024) PBAPP telah meningkatkan kapasiti efektif empangan 4.5 peratus daripada 32.8 peratus pada 5 Februari lepas kepada 37.3 peratus pada 17 Mac.

"Antara faktor utama yang akan menentukan kejayaan berterusan AIDAP ialah penggunaan air yang sederhana. PBAPP telah mengepam 33 JLH air dari LRA Sungai Dua ke kawasan perkhidmatan bekalan air Air Itam untuk meningkatkan kapasiti efektif empangan itu secara beransur-ansur," katanya.

Jelasnya jika PBAPP tidak dapat meneruskan pengepaman 33 JLH air terawat dari Seberang Perai ke Air Itam disebabkan penggunaan air yang tinggi, AIDAP 2024 tidak akan berfungsi selain isu bekalan air di DBD dan SPS.

Pathmanathan turut memaklumkan Sungai Muda yang merupakan sumber air mentah utama Pulau Pinang berada pada paras 1.71 meter hingga 1.89 meter antara 14 Mac lepas hingga semalam, iaitu di bawah paras selamat (2.0 meter).

Menurutnya, paras Empangan Muda 120 bilion liter di Kedah yang melepaskan air ke Sungai Muda juga dilaporkan menurun kepada 48.6 peratus pada Jumaat.

Beliau berkata PBAPP akan terus mengabstrak sebanyak mungkin air mentah dari Sungai Muda setiap hari untuk memenuhi permintaan air Pulau Pinang selain bersiap sedia untuk melepaskan maksimum 600 JLH dari Empangan Mengkuang Diperbesarkan (EMD) jika tidak dapat mengabstrak air yang mencukupi dari Sungai Muda.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI