
DOHA, 1 Mac – Seorang rakyat Malaysia, Geraint Sitaun, terkandas di Doha, Qatar selepas penerbangan transit dari Doha ke Kuala Lumpur dibatalkan akibat ketegangan yang memuncak di Asia Barat.
- Penerbangan transit Doha–Kuala Lumpur dibatalkan akibat ketegangan di Asia Barat, menyebabkan rakyat Malaysia terkandas di Doha.
- Penumpang ditempatkan di hotel, keadaan selamat walau kedengaran letupan dan peluru berpandu di kawasan sekitar.
- Mereka telah mendaftar dengan Kedutaan Malaysia di Doha dan menunggu situasi pulih untuk pulang.
Beliau dan beberapa penumpang Malaysia kini ditempatkan di hotel, menunggu situasi kembali stabil sebelum dapat pulang ke tanah air.
“Kami tiba di Doha awal pagi Sabtu dalam perjalanan pulang ke Malaysia. Tetapi selepas tiba, kami dapati penerbangan dari Doha ke Kuala Lumpur dibatalkan,” kata Geraint.
Pada peringkat awal, mereka tidak dimaklumkan mengenai punca pembatalan.
“Pada awalnya kami tidak tahu apa punca pembatalan itu. Selepas dipindahkan ke hotel dan mendapat akses internet, barulah kami tahu situasi semasa dan punca pembatalan penerbangan kami.
“Hari ini masuk hari kedua kami terkandas di Qatar,” katanya lagi.
Geraint memaklumkan keadaan mereka secara keseluruhan stabil dan selamat, walaupun terdengar letupan dan peluru berpandu di udara.
“Situasi kami di sini stabil dan selamat. Memang ada kedengaran letupan-letupan di sekitar kawasan ini dan kelihatan peluru berpandu berterbangan di udara, tetapi saya kira ini bukan kejadian yang berterusan.
“Mungkin sejak semalam berlaku tiga hingga empat kali, dan yang terakhir awal pagi tadi,” jelasnya.
Sebagai langkah keselamatan, mereka telah mendaftarkan diri dengan pihak Kedutaan Besar Malaysia di Doha untuk akses maklumat terkini.
“Kami berharap konflik ini berakhir secepat mungkin supaya akhirnya dapat kembali ke samping keluarga kami di Malaysia,” tambah Geraint.