KUALA LUMPUR , 11 Disember -Seramai 20 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Myawaddy, Myanmar, berjaya dibawa pulang menerusi operasi diselaraskan Kementerian Luar Negeri bersama agensi-agensi keselamatan Malaysia dan negara jiran.
Kumpulan itu tiba di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam pada pukul 7.20 malam 10 Disember sebelum diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut.
Menurut kenyataan Kementerian Luar Negeri, kesemua mangsa merupakan antara warga asing yang diselamatkan pihak berkuasa Myanmar melalui operasi bersepadu membanteras sindiket penipuan dalam talian di kawasan Myawaddy.
"Usaha membawa pulang mereka melibatkan koordinasi rapat antara Malaysia, Thailand dan Myanmar," menurut kenyataan itu.
Pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok hadir ke Myawaddy melalui Jambatan Persahabatan Kedua Maesot-Myawaddy bagi mengesahkan identiti mangsa sebelum membawa mereka di bawah tanggungjawab Malaysia.
"Mangsa kemudian diiringi keluar ke Thailand dengan kerjasama pihak berkuasa Thai ,di Mae Sot, Wilayah Tak, sebelum dibawa pulang ke tanah air melalui jalan darat," kata kenyataan itu.
Kementerian turut memaklumkan Kedutaan Besar Malaysia di Yangon dan Bangkok menyediakan bantuan konsular menyeluruh termasuk pengeluaran dokumen perjalanan sementara, pengangkutan, keperluan asas serta pengiring sepanjang perjalanan pulang selama 26 jam dari Mae Sot ke Bukit Kayu Hitam.
"Operasi ini merupakan kesinambungan usaha berterusan kementerian dalam membantu rakyat Malaysia yang terperangkap dalam sindiket penipuan pekerjaan di luar negara," menurut KLN.
Kementerian Luar turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Thailand dan pihak berkuasa Myanmar atas sokongan dalam mempercepatkan pemulangan kesemua 20 rakyat Malaysia itu, dan menegaskan komitmennya untuk terus menjaga kebajikan rakyat Malaysia di luar negara melalui misi diplomatik negara.