BACHOK, 12 Disember - Malaysia tidak mengiktiraf dua kewarganegaraan dan tindakan pelucutan taraf warganegara boleh diambil jika terdapat bukti individu memegang kewarganegaraan negara lain.
Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Badrul Hisham Alias berkata, pihaknya tidak mempunyai pangkalan data yang menunjukkan individu yang memegang dua kewarganegaraan, namun tindakan boleh diambil sekiranya pihak mereka menerima aduan lengkap daripada mana-mana pihak.
Beliau menjelaskan bahawa tindakan pelucutan hanya boleh dilakukan di bawah Perkara 24 Perlembagaan Persekutuan, iaitu selepas disiasat dan dibawa kepada Jawatankuasa Khas dipengerusikan hakim.
"Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), hanya mengiktiraf seorang warganegara memegang satu kewarganegaraan sahaja, walaupun isu dua kewarganegaraan kerap menimbulkan kekeliruan, terutama di kawasan sempadan," tegasnya.
"Dalam rekod kita, hanya warganegara Malaysia dicatat. Jika seseorang itu mempunyai kewarganegaraan lain, misalnya Thailand, ia tetap dicatat di negara asal. Sekiranya aduan diterima, tindakan boleh diambil termasuk pelucutan kewarganegaraan di bawah Perlembagaan Persekutuan," tambah beliau.
Datuk Badrul berkata demikian selepas menyempurnakan penyerahan MyKad kepada pesawah, Shaharuddin Basir, melalui Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) di Kampung Keting, Gunong Bachok, di Kelantan hari ini.
Mengulas lanjut katanya, JPN setakat ini belum meminta orang ramai menyerahkan pasport negara kedua secara sukarela kerana sukar bagi individu tampil sendiri.
Selepas pelucutan, individu terbabit boleh memilih kewarganegaraan yang ingin dikekalkan, namun MyKad tidak boleh dipegang jika masih mengekalkan kewarganegaraan lain.
Beliau turut menegaskan tiada perbincangan khusus dibuat dengan Thailand kerana perkara itu merupakan dasar negara masing-masing, walaupun isu sempadan seperti Sungai Golok pernah dibincangkan tahun lalu berikutan langkah kerajaan memperketat kemasukan.