Rakyat lega harga RON95 kekal

Rakyat berharap kestabilan harga petrol dapat diteruskan bagi mengelakkan tekanan tambahan terhadap kos sara hidup.

KUALA LUMPUR, 12 Mac – Usaha kerajaan mengekalkan harga petrol dan diesel ketika harga minyak global meningkat susulan konflik Asia Barat, dilihat mampu membantu meringankan beban rakyat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rakyat lega harga RON95 kekal, mengurangkan tekanan kos sara hidup buat masa ini.
  • Kebimbangan wujud tentang jangka masa kekal harga dan impak kenaikan minyak kepada harga barangan lain.
  • Perdana Menteri berkata bekalan minyak terkawal dan dapat bertahan sehingga Mei, memberi sedikit keyakinan sementara.

Rakyat berharap kestabilan harga dapat diteruskan bagi mengelakkan tekanan tambahan terhadap kos sara hidup di masa akan datang.

Reezal Abu Samah

“Bagi saya selagi kerajaan boleh kekalkan harga itu memang eloklah. Tetapi soalnya sekarang ni, sampai bila?

“Ramai rakyat juga risau, kalau suatu hari nanti harga minyak melambung dan kerajaan terpaksa naikkan harga, kesannya besar.

“Sebab bukan setakat minyak mahal, malah semua barangan lain pun akan naik,” kata Reezal Abu Samah yang ditemui RTM.

Perkara sama disuarakan Muhammad Muzaffar Nordin.

Muhammad Muzaffar Nordin

“Baguslah kerajaan kekalkan harga sebab kos hidup sekarang pun dah meningkat.

“Tapi akan datang kita tak tahu apa akan jadi, lebih-lebih lagi dengan peperangan yang berlaku sekarang yang mungkin menjejaskan harga minyak.

“Harapnya kerajaan ada penyelesaian untuk membantu rakyat mengekalkan harga yang ada sekarang,” katanya.

Muhammad Arman Sharani pula berpendapat, harga bahan api di Malaysia masih terkawal jika dibandingkan dengan beberapa negara lain.

Muhammad Arman Sharani

“Kalau naik sedikit pun masih boleh diterima dan tidak terlalu membebankan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Raja Nur Izzah Raja Harun berkata, rakyat bersyukur kerana harga bahan api masih dapat dikekalkan buat masa ini, namun berharap keadaan ekonomi tidak menjadi lebih buruk pada masa akan datang.

Raja Nur Izzah Raja Harun

“Untuk jangka panjang kita tak tahu lagi macam mana, namun sekarang ini Alhamdulillah, harap tidak lamalah sebab takut keadaan bertambah teruk,” luahnya.

Perdana Menteri semalam dilaporkan berkata, harga subsidi bahan api RON95 kekal pada RM1.99 seliter walaupun harga minyak global meningkat ketika ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bekalan minyak di negara masih terkawal dan dapat bertahan sehingga Mei depan.