fb fb fb fb fb

Raja Zarith Sofiah berkenan ziarah keluarga waris Allahyarham Amirul Faris

Foto FB Sultan Ibrahim

KUALA LUMPUR, 28 April- Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat melawat salah seorang keluarga yang terkorban dalam nahas udara di Pangkalan TLDM Lumut.

Baginda meluangkan masa melawat keluarga Pegawai Taktikal Udara Skuadron 503, Allahyarham Leftenan Komander Mohammad Amirul Faris Mohamad Marzukhi di Taman Senawang Perdana, Negeri Sembilan.

Suasana pilu menyelubungi rumah Allahyarham ketika lawatan Raja Permaisuri Agong bertemu balu Allahyarham, Siti Aisyah Mohd Roslan bersama dua anak lelaki berusia tujuh dan dua tahun.

Selain bertanya khabar, baginda turut mengurniakan sumbangan peribadi kepada balu Allahyarham.

Hadir sama mengiringi baginda, Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, isteri Menteri Pertahanan, Datin Seri Rosni Omar serta Isteri Timbalan Menteri Pertahanan, Hajah Dalilah Awaludin.

Khamis lalu, jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Senawang, Negeri Sembilan.

Dalam kejadian Selasa lalu, dua helikopter jenis Pesawat HOM (M503-3) membawa empat kru dan tiga penumpang dan pesawat Fennec dinaiki tiga kru terhempas selepas bergesel di udara di Pangkalan TLDM Lumut.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM