fb fb fb fb fb

Raja Permaisuri Agong ziarah makam Tunku Jalil

FOTO FACEBOOK Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR, 29 Mac- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan menziarahi Makam DiRaja Bukit Mahmoodiah di Johor Bahru hari ini termasuk makam anakanda baginda, Almarhum Tunku Abdul Jalil Ibni Sultan Ibrahim.

Menerusi hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda turut menziarahi makam Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail serta Enche’ Besar Hajah Khalsom Abdullah.

"Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong juga membaca Yassin sebelum meletakkan bunga dan menyiram air mawar ke atas pusara-pusara, termasuk Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, Almarhum Tunku Abdul Jalil Ibni Sultan Ibrahim (Tunku Laksamana Johor) dan Enche’ Besar Hajah Khalsom Abdullah," menurut kenyataan itu,

Almarhum Sultan Iskandar merupakan ayahanda kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, manakala Enche’ Besar Hajah Khalsom Abdullah ialah bonda kepada Sultan Ibrahim.

Sebagai tanda kenangan bersama Almarhum Tunku Abdul Jalil, Seri Paduka Baginda turut memakai cincin milik anakanda baginda itu.

"Cincin ini satu-satunya yang pernah Almarhum Tunku Laksamana pakai dahulu dan saya simpannya sehingga sekarang," titah Seri Paduka Baginda menerusi hantaran berkenaan.

Almarhum Tunku Abdul Jalil merupakan anakanda keempat serta putera ketiga kepada Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah.

SITI AISHAH MD ISA