KUALA LUMPUR, 8 Mac- Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, menzahirkan ucapan Selamat Hari Wanita Antarabangsa 2025 kepada seluruh wanita di negara ini.
Menerusi tema sambutan tahun ini, "Wanita Beraspirasi Membina Legasi", Seri Paduka Baginda merakamkan penghargaan terhadap peranan wanita yang menjadi tunjang keluarga, masyarakat, serta pembangunan negara.
Titah Seri Paduka Baginda, wanita bukan sahaja memainkan peranan penting dalam institusi kekeluargaan, malah turut memberi sumbangan besar dalam pelbagai bidang profesional.
“Kecekalan dan kebijaksanaan wanita dalam menghadapi cabaran menjadikan mereka sumber inspirasi dalam membina legasi bermakna untuk generasi akan datang.
“Saya mendoakan agar setiap wanita terus cekal dan bersemangat dalam apa jua yang mereka usahakan,” titah Raja Zarith Sofiah menerusi satu hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Sambutan Hari Wanita Antarabangsa yang diraikan setiap 8 Mac bertujuan mengiktiraf sumbangan wanita di seluruh dunia selain memperkukuh semangat perjuangan dalam mencapai kesaksamaan gender.