fb fb fb fb fb

Raja Permaisuri Agong tiba di Labuan, lawatan sulung dua hari

Raja Zarith Sofiah melawat reruai dan pameran inovasi yang dihasilkan oleh para pelajar Kolej Matrikulasi Labuan (KML)

LABUAN, 5 November- Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan melawat ke Kolej Matrikulasi Labuan (KML) sempena lawatan sulung selama dua hari ke Labuan.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda disambut oleh 960 pelajar yang mengibarkan Jalur Gemilang dan ada yang berpakaian tradisional melambangkan etnik Sabah dan Labuan.

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Ruji Ubi turut memberikan penerangan ringkas kepada Raja Zarith Sofiah mengenai perkembangan pendidikan di wilayah itu.

Selain itu Seri Paduka Baginda dibawa melawat reruai dan pameran inovasi yang dihasilkan oleh para pelajar kolej tersebut.

Seterusnya Raja Zarith Sofiah berkenan mengurniakan lapan komputer riba kepada lapan pelajar sumbangan oleh Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ).

Raja Zarith Sofiah turut berangkat ke pameran kraftangan di Kampung Sungai Lada.

Pelbagai hasil produk kraftangan dipersembahkan kepada Seri Paduka Baginda pada sesi lawatan itu selain bertemu komuniti setempat.

Baginda Tuanku dijadual akan berangkat menghadiri majlis santapan bersama-sama pemimpin masyarakat dan Majlis Pengurniaan Sumbangan komuniti Labuan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI