
KUALA LUMPUR, 14 Februari – Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah mahu keselamatan kanak-kanak dan remaja di alam maya diberi perhatian oleh pihak berkuasa dan masyarakat kerana ia boleh menjadi ruang toksik, dan memberikan kesan buruk jangka panjang jika dibiarkan menular.
- Perlu perhatian dan tindakan serius oleh pihak berkuasa serta masyarakat bagi melindungi kanak-kanak dan remaja di alam maya.
- Kebimbangan terhadap impak negatif alam maya terhadap kesihatan mental golongan muda perlu ditangani segera.
- Pendidikan dan program pencegahan penting untuk mencegah ancaman keselamatan dan gejala sosial dalam talian.
- Inisiatif seni seperti program Ilham Seni Diraja membantu memupuk kesihatan mental dan menyokong pelajar B40.
Menerusi perkongsian di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Raja Zarith Sofiah turut menzahirkan kebimbangan dan keprihatinan tentang isu kesihatan mental, yang semakin menular menunjukkan kesan-kesan negatif terutama terhadap kanak-kanak dan remaja.
“Saya amat terkesan dengan kematian seorang pelajar perempuan tahun lalu yang ditikam di sekolah dan bimbang akan kesan persekitaran keselamatan di alam maya yang mengandungi pelbagai ancaman terhadap kesihatan mental masyarakat, terutamanya golongan muda.
“Justeru, perhatian serta tindakan serius perlu diambil oleh pihak berkuasa dan masyarakat bagi melindungi generasi muda daripada ancaman keselamatan di ruang dalam talian,” titah Baginda.
Raja Zarith Sofiah bertitah demikian selepas berkenan menerima menghadap rombongan Kelab Oxford Alumni Malaysia di Istana Negara semalam, yang turut membincangkan serta mengupas isu-isu keselamatan alam maya.
Terdahulu, Raja Permaisuri Agong melancarkan program Ilham Seni Diraja, sebuah projek perintis membabitkan 200 pelajar sekolah di Kuala Lumpur bagi memberi pelajar B40 saluran aktiviti yang membina melalui bidang seni sebagai usaha memupuk kesihatan mental yang baik dan mencegah terjerumus gejala sosial.