fb fb fb fb fb

Raja Permaisuri Agong berkenan lawat UNISSA

Foto facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Oktober- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan melawat Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) di Kampus Gadong di sini hari ini bagi menyempurnakan Sudut Buku Malaysia yang mempamerkan penerbitan penyelidikan bersama antara Brunei dan Malaysia.

Raja Permaisuri Agong yang dalam rangka Lawatan Negara ke Brunei bersama Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bermula semalam, diiringi Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi'atul Adawiyyah selaku Kerabat Diraja Pengiring.

Keberangkatan tiba Raja Zarith Sofiah ke perpustakaan universiti berkenaan pada 2.15 petang disambut Menteri Pendidikan Brunei Datin Seri Setia Dr Romaizah Md Salleh dan Rektor UNISSA Datuk Seri Setia Dr Norarfan Zainal serta warga universiti itu.

Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini.

Sebaik sahaja tayangan video korporat UNISSA selesai, Seri Paduka Baginda berkenan menyempurnakan pelancaran Sudut Buku Malaysia dan menandatangani Lembaran Kenangan bersempena dengan keberangkatan Raja Permaisuri Agong ke universiti berkenaan.

Raja Zarith Sofiah kemudian berangkat melawat Galeri al-Imtiyaz, Pameran Hubungan Kerjasama dan Studio Mushaf Digital di universiti awam kedua di negara ini, dan yang pertama dalam bidang pengajian tinggi Islam di Brunei.

Seri Paduka Baginda turut berkenan menyertai sesi bergambar bersama warga UNISSA sebelum berangkat pulang ke hotel penginapan.

Terdahulu, Norarfan dalam sembah aluannya berkata hubungan UNISSA dengan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Malaysia boleh dikatakan sangat signifikan dan kehadiran cendekiawan Malaysia sejak penubuhan UNISSA sedikit sebanyak membantu menyemarakkan lagi perkembangan universiti berkenaan.

“Ketika ini, sebanyak 24 peratus atau 11 tenaga akademik antarabangsa UNISSA terdiri daripada warganegara Malaysia,” katanya.

Beliau berkata universiti itu juga giat melaksanakan penyelidikan berimpak tinggi secara kolaboratif bersama negara serantau terutama dengan IPT di Malaysia menerusi pemeteraian 33 penyelidikan bersama 15 universiti Malaysia.

“Jalinan kerjasama strategik juga dijalankan melalui aktiviti seperti Program Pengajian Luar Negara dan Program Pertukaran Pelajar ke universiti di Malaysia seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia dan Management & Science University.

“Aktiviti lain ialah program mobiliti dan latihan amali antara UNISSA dan universiti di Malaysia. Pada masa ini sahaja sebanyak enam pelajar UPSI (Universiti Pendidikan Sultan Idris) dan dua daripada UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia) sedang menjalani program berkenaan di UNISSA,” katanya.

Norarfan berkata kurikulum UNISSA disusun dan digarap dengan menekankan komitmen pembangunan rohani dan intelektual dengan menjadikan kursus al-Quran al-Karim sebagai kursus teras atau wajib universiti bagi semua peringkat pengajian.

UNISSA ditubuhkan pada 1 Jan 2007 dan mempunyai dua kampus iaitu di Gadong dan Sinaut yang menawarkan kursus seperti Akidah, Ulum al-Quran, Ulum Hadith, Usul Fiqh dan Akhlak.

Universiti itu mempunyai 1,900 pelajar dan 158 pelajar antarabangsa dengan 12 daripadanya merupakan pelajar Malaysia manakala jumlah tenaga akademik pula sebanyak 121 orang dengan 11 daripadanya ialah warga Malaysia.- BERNAMA

 

ROSLINA BINTI DIN