fb fb fb fb fb

Raja Permaisuri Agong berkenan beri penghormatan terakhir kepada dua anggota polis maut

Jenazah Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, dibawa ke Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil, Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Johor pagi ini, untuk solat jenazah dan penghormatan terakhir

JOHOR BAHRU, 18 Mei - Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, pagi ini bagi memberi penghormatan terakhir kepada dua jenazah anggota polis yang terkorban dalam serangan Balai Polis Ulu Tiram, semalam.

Jenazah disolatkan kira-kira 500 pegawai dan anggota polis termasuk waris sekitar pukul 10.40 pagi tadi, yang diimamkan oleh Imam Daerah Johor Bahru, Mohd Nazri Ali.

Kedua-dua jenazah yang selesai dibedah siasat malam tadi, dibawa menaiki van dari Hospital Sultan Ismail (HSI) dan tiba di masjid berkenaan kira-kira pukul 9.20 pagi.

Turut hadir menunaikan solat jenazah ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Dalam kejadian 2.45 pagi itu, dua anggota polis Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22 tahun dan Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24 tahun maut selepas diserang seorang lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang manakala seorang lagi anggota Koperal Mohd Hasif Roslan cedera ditembak dan dilaporkan stabil selepas dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI).

Razarudin mengesahkan suspek lelaki berusia 21 tahun ditembak mati dalam insiden berkenaan disyaki ahli Jemaah Islamiyah.

TETITIA YUSOFF